Senaman Harimau Buat Lelaki Lebih Jantan Dan Perkasa? Ini Cara Lakukannya Step-by-step

Kini, telah wujud banyak jenis ubatan dan rawatan untuk kesihatan para lelaki di luar sana. Tidak cukup dengan itu, kian tular sejenis senaman yang dipercayai mampu membuat seorang lelaki itu lebih ‘jantan’ dan ‘perkasa’ iaitu senaman harimau! Apakah ia?

Apa itu senaman harimau atau cakar harimau?

Masyarakat kita sudah tidak asing lagi dengan kepercayaaan urutan atau gerakan yang dikatakan amat bagus untuk kesihatan tubuh badan terutama dalam aspek kebatinan. Dari hujung rambut ke hujung kaki, ada sahaja amalan atau panduan yang disarankan!

Contohnya, ada sejenis senaman yang lebih popular dengan nama ‘cakar rimau’ khas untuk orang lelaki. Ia dipercayai mampu membuat seorang lelaki itu lebih kuat semasa beraksi di ranjang.

Antara masalah yang diuar-uarkan boleh diselesaikan hanya dengan senaman ini adalah ejakulasi pramatang, ereksi lemah, kurang libido dan macam-macam lagi masalah seksual orang lelaki.

Dalam erti kata lebih mudah, senaman harimau mampu bantu membuat lelaki itu mempunyai tahap ejakulasi, ereksi dan libido yang baik sekali gus akan tahan lebih lama di ranjang. Adakah anda ingin cuba?

Bagaimana cara senaman ini dilakukan?

Bagi mereka yang mungkin pernah atau ingin cuba senaman cakar harimau ini, ketahuilah ia tidak serupa dengan senaman umum lain seperti kegel, plank, squat atau senaman batin yang lain.

Ini kerana untuk melakukan senaman cakar rimau, individu itu tidak perlu banyak bergerak, jadi hanya mengeluarkan sedikit sahaja peluh. Dalam pada itu, anda boleh melakukannya sambil duduk.

Di bawah adalah tatacara untuk lelaki melakukan senaman harimau, mengikut turutan yang betul:

  1. Duduk di dalam posisi bersila.
  2. Julurkan sebelah kaki dan tangan yang sama ke hadapan.
  3. Tarik nafas dengan dalam dan perlahan.
  4. Pusingkan badan ke arah bertentangan dengan kaki dan tangan yang terjulur.
  5. Tahan posisi ini dengan kaki dan tangan tadi terjulur sejauh yang mungkin.
  6. Hembus nafas dengan tenang dan perlahan.
  7. Ulang turutan di atas dengan beralih ke kaki dan tangan sebelah lain pula.

Senang sahaja bukan? Apa yang lebih menarik adalah senaman harimau tidak memakan terlalu banyak usaha dan masa untuk dilakukan. Ia boleh dijayakan ketika anda sedang duduk-duduk sahaja di rumah.

Dalam pada itu, ada juga variasi senaman tradisional lain yang dipercayai mampu mendatangkan manfaat sama. Contohnya senaman padi bukit, nafas pertapa, rentak urutan, tarik sepadan, tepis jengking, lenjang gajah, matahari naik dan lain-lain yang mungkin juga bagus.

Benarkah senaman ini amat bagus untuk lelaki?

Seperti mana ayat di dalam tajuk artikel, senaman cakar harimau ini dipercayai amat bagus untuk lelaki terutama mereka yang sedang menghadapi masalah dengan alat sulit dan tenaga batin.

Sebenarnya, kita semua kena tahu setiap jenis senaman itu akan menyihatkan tubuh badan dalam segenap aspek kehidupan, bukan pada seksualiti sahaja. Jadi, kami boleh katakan ini senaman yang bagus.

Namun, ketahuilah juga bahawa masih belum ada sebarang bukti saintifik yang mengesahkan jika senaman ini mampu menyelesaikan masalah zakar lelaki termasuk ejakulasi, ereksi atau libido.

Apa yang mungkin lebih membimbangkan adalah wujud risiko jika sebarang urutan, gerakan atau senaman tradisional seperti ini, akan memburukkan lagi keadaan sedia ada. Bahkan, wujud kes di mana lelaki mengalami mati pucuk akibat mengamalkan kaedah tradisional yang salah!

Jangan terus buat, dapatkan nasihat doktor!

Sebaiknya, lelaki yang bermasalah pada batin wajar menjalani pemeriksaan secara berkala dengan doktor pakar sakit tuan terlebih dahulu untuk mendiagnosis kondisi yang membelenggu anda.

Kebiasaannya, masalah pada alat sulit atau tenaga batin lelaki berpunca akibat faktor yang berikut:

  • Kecederaan pada zakar
  • Diet yang tidak sihat
  • Gaya hidup kurang cergas
  • Penggunaan ubatan tertentu
  • Tabiat menghisap rokok
  • Tabiat meminum arak
  • Masalah emosi dan mental

Selepas anda disahkan mengalami sebarang masalah berkaitan kesihatan dan kebatinan lelaki, apa yang anda perlu buat adalah merawat kondisi-kondisi tersebut terlebih dahulu dengan doktor.

Selain pengambilan ubatan atau rawatan klinikal, anda juga sangat disarankan untuk mencegah faktor-faktor risiko di atas tadi. Kemudian, barulah fikir untuk melakukan senaman harimau atau lain-lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *